Sebenarnya aku tidak mahu share benda ni di sini. Tapi kelmarin kan aku sudah janji. So kena tunaikan.
Bermula hujung 2018 aku start sakit. Masa tu simptom pertama adalah bengkak di jari-jari tangan.
Aku masuk UITM awal tahun tu juga. Kiranya 6 bulan pertama di UITM badan aku start lemah. Tambahan lagi kolej di atas bukit. Hari-hari juga naik turun tangga. Adakalanya terpaksa naik turun tangga merah.
Masa tu memang penat dia hanya Allah yang tahu. Pernah suatu hari kawan aku tegur sebab dengar nafas aku kuat sangat masa naik tangga. Hahaha. Malu betul.
Penatlah!
Pastu suatu hari aku perasan rambut aku gugur banyak sangat. Jari-jari bengkak semakin bertambah.
Bila balik rumah cuti sem 1, aku mula terlantar sebab sakit tulang. Kaki memang sudah mula sakit start balik dari UITM. Bila jumpa doktor, ujian darah dibuat berkali-kali. Tapi hasilnya semua negatif. Jadi doktor cakap aku cuma penat.
Suatu hari buat pemeriksaan dekat sebuah klinik swasta di Kota Kinabalu. Terus doktor syak SLE, iaitu penyakit autoimun yang menyerang sendi-sendi aku. Dia terus bagi ubat tahan sakit.
Sepanjang sebulan tu aku makan ubat tahan sakit ja lah di rumah. Alhamdulillah ada perubahan sedikit. Kalau nak berjalan tu terpaksa dipapah.
Bermulalah exam sem 1 pada bulan 12 tahun tersebut. Masa tu hanya Allah yang tahu betapa sakitnya masa jawab. Sehari sebelum exam tu ada berita kematian di kampung. Pastu dewan tu sangat sejuk. Terpaksa bertahan selama berjam-jam. Ditambah lagi tulang akan sakit bila berada dalam persekitaran sejuk.
Tapi-tapi. Ya Allah apa aku mengarut ni.
Nak cerita pasal sujud ja kan!
Sebenarnya aku dah lama tak dapat sujud. Sejak 2018 tu lah. Sampailah awal tahun ni. Alhamdulillah bersyukur sangat bila dapat kembali nikmat sujud.
Pada 2019 aku pernah merancang nak sambung study balik. Sebab aku sudah berhenti belajar di UITM. Masa exam sem 1 tu adalah hari terakhir aku memijakkan kaki di universiti itu.
Selepas itu aku merancang sambung di institut tahfiz. Tapi tu lah masa tu kan belum dapat sujud macam orang lain. Berjalan dapat lah. Dengan takdir Allah aku tidak lepas pun temuduga masa tu.
Mungkin ada hikmah kan?
Aku seolah tidak menyedari hakikat diri. Memang aku tidak mampu lagi masa tu. Dengan keadaan aku yang hanya mampu duduk di atas kerusi. Memang payahlah.
Suatu hari ada orang tanya, tidak mahu sambung belajar ka? Aku kata mahu. Tapi masa tu baru terdetik dalam hati tentang payahnya untuk aku menjejak kaki di tempat orang. Selama ni fikir diri mampu. Rupanya tidak.
Jadi masa tu aku terus diam. Hanya termenung melihat pemandangan di luar tingkap kenderaan.
Aku terus putus harapan untuk sambung belajar. Fikirku, lebih baik aku buat bisnes sahaja.
Lama juga untuk aku menghadam semua ni. Tapi kata-kata seorang rakan membakar semangat aku. Katanya,
"Kau jangan pernah putus harapan."
Dia pun mohon di institut sama masa tu. Tapi kami sama-sama tak dapat lepas interview. Dialah yang menjadi inspirasi buat aku untuk belajar secara dalam talian. Aku sangat kagum dengan dia. Biarpun menjadi seorang mudir di salah sebuah sekolah rendah tahfiz tetapi dia tetap mahu belajar agama dan sanggup tinggalkan alam pekerjaan walaupun peluang untuk dia masuk tu hanyalah sijil.
Dia suka satu hadith ni.
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Maksudnya: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”. [Riwayat al-Bukhari (5027)]
Hadith ini juga menjadi pembangkit semangat aku saat aku lemah menghafal.
Maka, selepas aku dapat sujud dan kaki ini pun semakin pulih aku dapat semangat balik untuk sambung study. Alhamdulillah temuduga buat kedua-dua institusi yang aku isi berjalan dengan lancar. Walaupun harapan tidaklah setinggi gunung namun kepasrahanku kepada takdir-Mu ya Allah amatlah tinggi.
Mulai saat itu aku amat menghargai nikmat ini. Aku tidak akan sia-siakan.
Aku masih ingat kata-kata doktor di klinik swasta itu.
"Belikan kerusi roda untuk dia."
Kata-kata itu seolah-olah tidak memberi harapan untuk aku terus berjalan macam orang lain. Tapi perancangan-Nya jauh lebih baik berbanding kesimpulan awal yang doktor ucapkan.
Orang tidak pernah sedar kan betapa sujud itu adalah antara nikmat terbesar. Sangat indah bila kita menyelami erti 'sujud' itu. Bila kita tunduk pada Pencipta, maka tiada apa yang harus dikhuatiri melalui hidup ini.
Rasulullah sendiri selalu sujud panjang pada Allah. Sampaikan kaki-kaki Rasulullah lebam-lebam dan bengkak dek kerana beribadah kepada-Nya sepanjang malam.
Kerana itulah hiburan sebenar Rasulullah.
Di saat kita berlari dan bergelak tawa, tidak kita sedari betapa ramainya insan yang tidak merasai itu semua.
Seorang anak kecil dilahirkan tanpa kedua kaki. Kamu rasa apa hiburan terbaik bagi dia? Dia hanya mampu memandang dengan pandangan yang sayu. Ingin merasa itu semua. Ingin merasa juga solat seperti manusia normal. Tapi dia tiada kuasa untuk melawan takdir itu.
Tapi di Sana nanti, dialah manusia yang pantas berlari ke depan menuju ke syurga.
Kita bagaimana?
Adakah kita masih menghargai nikmat kaki ini?! Ingatlah sahabat, bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik nikmat ini.
Bersujudlah selagi mampu sujud!
Comments
Post a Comment