Indahnya Tutup Aurat


Terimbau kenangan saat di bangku sekolah dahulu. 

Detik awal penghijrahan aku. Hari demi hari aku melihat perubahan rakan-rakan sekelas. Satu persatu dari mereka mula berhijrah menutup aurat dengan sempurna.

"Mak, ustazah suruh pakai tudung labuh."

Tipuku semata-mata hendak memakainya. 

Lama juga aku mendapatkan kekuatan untuk menyatakan hasrat tersebut. Bukan apa, aku takutkan anggapan orang sekeliling terhadapku. 

Nak hadap semua tu bukan mudah. Aku tahu semua yang berhijrah pun akan mengalaminya. 

Jadi aku cuba ambil kekuatan dari situ. Kerana aku tahu bahawa aku tidak bersendirian melaluinya. 


Maka suatu hari aku bertekad untuk membeli tudung labuh sekolah yang bulat. 
Aku mula memakainya ke sekolah. 

Memang tidak dinafikan pada mulanya agak janggal. Ada saja mata yang memerhati. Asing terasa di hati. 

Tapi rakan-rakan sekelas sentiasa ada untuk menyokong aku. Kami tahu jalan ini tidak mudah. Kami tahu jalan ini penuh dengan onak ranjau yang berbahaya. 

Namun bila kita istiqamah di jalan ini, biarpun merasa sendiri sebenarnya Allah dan para malaikat sentiasa menemani.

Mawaddah berpesan;

"Hijrah bukan jalan yang ditaburi bunga dan dihamparkan permaidani merah. Namun jalan hijrah penuh dengan air mata dan darah."

Jadi yang menjadi harapan di dunia ini hanyalah redha ilahi. Bila Allah redha, walau seberat mana pun cabaran hidup itu tidak menjadi masalah.

Semoga yang masih tsabat di jalan ini terus kuat menghadapi. Ketahuilah di sebalik perit getir yang kita hadapi ada kemanisannya suatu saat nanti. 

Maka ya Allah, kami redha dengan apa yang telah terjadi. Semoga ianya menjadi hujah buat kami di akhirat nanti atas alasan untuk mencapai redhaMu.

Jadi apa indahnya?

Menggapai redha ilahi, ITULAH INDAHNYA:)







Comments

Popular posts from this blog

Takdir

Husnudzon selalu.

Aku gadis hijrah